Keunikan Langkawi Geopark

Pemandangan Tasik Dayang Bunting dari udara.

Langkawi Geopark mempunyai sekurang-kurangnya 27 geotapak dalam 3 kawasan utama iaitu Machinchang Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park.

Antara keunikan yang melayakkan Langkawi sebagai geopark ialah geologi sejarahnya yang terbentuk seawal usia Kambria melalui pengendapan Formasi Machinchang yang kini merangkumi sebahagian Pergunungan Machinchang.

Selain itu, terdapat juga penemuan batu jatuh atau 'dropstone' di Pulau Tepor, Pulau Ular dan Tanjung Mali yang membuktikan glasiasi pernah berlaku di kawasan Langkawi suatu ketika dahulu.

Tasik Dayang Bunting dan sekitarnya juga unik dari segi geologi sejarah dan lanskapnya yang seolah-olah membentuk wanita yang mengandung selain terdiri daripada marmar yang sebenarnya berkualiti tinggi berbanding tempat lain di dunia.

Kilim Geoforest Park boleh dilawati menggunakan bot.

Pulau-pulau kecil di sekeliling Langkawi juga mempunyai tarikannya tersendiri dari segi lanskap seperti Pulau Jong, Pulau Beras Basah, Pulau Rebak, Pulau Tuba dan Pulau Intan Besar.

Tarikan lain yang bersifat alam semulajadi di Langkawi ialah Pantai Pasir Tengkorak, Air Terjun Temurun, Telaga Tujuh, Pantai Pasir Hitam, Gunung Raya, Kilim dan Teluk Datai.

Berkaitan